Sunday, November 30, 2008

Pemergian Ayah Mertua...


Pada 21hb November 2008, jam hampir 7.00 pagi, hari Jumaat, telah perginya seorang hamba Allah yang bernama Hj. Busu Bin Abd. Rahman. Beliau ialah bapa mertuaku.

Agak sukar bagiku untuk menulis bingkisan ini... Kesyahduan di kalangan kami, mak mertua, ipar duai dan biras menangis kesedihan, kepiluan menguasai hati. Pemergian ahli keluarga yang amat dihormati bukan sahaja dirasai kepiluan hati daripada di kalangan ahli keluarga tetapi masyarakat setempat. Ketika pemergian Allahyarham, aku duduk meriba anak bongsu dekat pintu bilik tidur, sempat mengucapkan Allah, Allah, Allah sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebak rasa hatiku menangisi pemergiannya, air mataku mengalir walaupun hatiku cuba menahan.

Berduyun-duyun manusia menziarahi Allahyarham, kenderaan yang melalui jalan raya depan rumah menyangkakan ada kenduri diadakan. Kesesakan kenderaan memarkir di persekitaran rumah dan sepanjang jalan, juga salah satu bukti penghormatan besar yang dizahirkan.

Sebelum ini ayah tidak pernah sakit, hanya mak yang keluar-masuk wad. Selepas lembaran raya tempoh hari, ayah sakit demam dan semakin melarat sepanjang tempoh tiga minggu sebelum pemergian arwah.

Kesemua adik-beradik isteriku sempat melihat pemergian ayahanda tercinta ke tanah perkuburan. Teringat wasiat ayah yang tidak mahu diletakkan di atas lori atau van, dijunjung oleh anak cucu dan waris hingga ke tanah perkuburan. Dikuburkan oleh Abang Man, Abang Kamarul dan Heri serta ditimbuskan secara berganti-ganti oleh waris,sanak saudara yang ada. Akhirnya dibacakan talqin buat mengingat mukmin yang masih hidup tentang kematian yang bakal tiba buat kita semua.

Sedekahkanlah al-fatihah buat Allahyarham Hj. Busu Bin Abdul Rahman.